Perasaan tidak senang hati melihat seseorang mendapat kebahagiaan atau kesenangan dan akan menjadi gembira serta sukacita apabila orang tadi mengalami kesusahan atau kepayahan hidup, ini dikenali sebagai hasad. Seseorang yang dijangkiti penyakit ini, hidupnya sentiasa pahit lagi menderita. Bukan sahaja hasad ini satu dosa besar malahan ia tidak tidak langsung membawa kemanfaatan bagi kehidupan dunia mahupun akhirat.
Satu usaha yang bersungguh-sungguh mestilah diambil serta doa yang khusyu' agar perasaan ini dapat dihapuskan sama sekali. Penyakit ini hanyalah membahayakan diri kita sendiri.
Mereka yang menyimpan hasad ini samalah mengisytiharkan perang dengan Allah swt, kerana dia merasa tidak puas hati malah menyoal Allah kenapa si dia yang tidak layak itu menerima begitu banyak kemewahan dan kelebihan (mengikut kaca mata si hasad). Di sini, si hasad mempertikaikan hikmah serta kuasa Allah swt mentadbir dan mengatur sesuatu corak kehidupan. Sebab inilah hasad boleh menghapuskan keseluruhan pahala daripada amalan-amalan baik.
Janganlah kita susahkan hati kita sendiri malah merunsingkan fikiran dan mental, lihatlah kebesaran Allah dan puji Allah yang Maha Mengetahui kerana segalanya datang daripada Ilahi. Hanya hati kita apabila diselaputi titik-titik hitam disebabkan dosa-dosa yang kita lakukan, maka kita gagal lagi buta untuk melihat Qudrat dan Iradat Allah swt.
<< Entri sebelum ini..





